Saturday, September 4, 2010

=GEJALA MEMBUANG BAYI=


KES buang bayi perlu diangkat menjadi isu besar yang membawa kepada hukuman setimpal kepada pesalahnya. Tidak ada kalam yang sesuai untuk kita gambarkan kekejaman yang dilakukan itu.

Ia layak disamakan dengan kes bunuh yang lain. Maka, pesalah yang terbukti terlibat perlu dibawa ke tali gantung. Ini adalah pendapat yang memerlukan perincian mendalam ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat.

Saya bersetuju dengan pendapat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan agar bapa kepada bayi malang itu juga wajib diseret ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sama. Hukuman maksimum 20 tahun penjara tidak memberi kesan kepada ‘pembunuh bayi’ ini. Hukuman itu wajar dikaji tetapi biarlah ia amat setimpal dengan tahap perlakuan jenayah itu.

Bayi yang dilahirkan sempurna sifatnya layak diiktiraf sebagai manusia normal yang mendapat perlindungan undang-undang seperti manusia lain. Cuma seorang bayi tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk mempertahankan dirinya baik dalam bentuk tenaga ataupun tutur kata. Membuang bayi yang selamat dilahirkan dalam keadaan normal adalah satu perbuatan membunuh manusia.

Membunuh

Kalau kesalahan membunuh berakhir di tali gantung, tidak ada bezanya dengan kesalahan membuang bayi yang membawa kepada kematian kepada bayi itu.

Hukuman penjara boleh dipraktikkan jika bayi ditemui dalam keadaan masih bernyawa. Tetapi cadangan untuk mengheret kedua-dua manusia kejam ke muka pengadilan amat tepat. Punca kepada perlakuan buang bayi bukannya bermula di pihak wanita sahaja tetapi jelas punca angkara tidak berperikemanusiaan itu datang daripada kedua-dua bapa dan ibu.

Dalam hal ini, peranan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri di kementerian yang dianggap memperjuangkan martabat wanita diperlukan. Kajian perlu disegerakan akan pesalah buang bayi dihukum seperti seorang pembunuh.

Masyarakat harus melihat gejala buang bayi ini sebagai isu sejagat yang amat terkutuk di bumi Allah s.w.t ini.

Perlakuan maksiat harus diangkat menjadi agenda utama yang segera untuk ditangani. Jabatan Agama Islam Negeri dengan kerjasama seluruh penguat kuasa undang-undang negara perlu meningkatkan keazaman untuk membanteras gejala tidak bermoral itu.

Kes yang dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia pada Selasa lalu adalah salah satu kes yang dapat dikesan oleh masyarakat. Tetapi dalam masa yang sama ada banyak lagi kes bayi malang yang ‘dibunuh’ dan dilenyapkan terus dari bumi ini.

Kita bersetuju agar semua pihak bertanggungjawab dan mengambil bahagian menangani masalah ini.

Usaha membanteras gejala sosial pula seakan lebih berkesan jika ia diketuai oleh pihak pendukung undang-undang sendiri. Ahli masyarakat boleh dilibatkan dengan cara menjana idea dan saranan tentang bagaimana kaedah untuk memudahkan pihak berkuasa untuk bertindak.

Jika respons sudah diberikan oleh pihak polis dalam kes buang bayi ini, pihak-pihak lain hanya perlu meneruskan sokongan untuk melihat satu cara penyelesaian yang lebih pantas.

Hadis Rasulullah s.a.w:


قَالَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ َ

Hadis ini menyebutkan bahawa seorang bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih akidahnya). Maka kedua ibubapanya yang akan menjadikannya (kerana asuhan dan didikan) yahudi atau nasrani atau majusi.

Saya ingin melihat dari sudut “Gejala Membuang Bayi” yang berlaku masakini dan kesan psikologi:

Penzina:-
1. Bayi ini tidak bersalah, yang berdosa adalah lelaki dan wanita yang berzina.
Jika anda membuang bayi ini, dua kesalahan yang telah anda lakukan. Berzina dan membunuh (bayi yang tidak berdosa).
2. Apa yang sepatutnya anda buat?
a) Bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha (sebenar-benarnya) kerana telah melakukan zina.
b) Minta bantuan keluarga anda untuk memberi sokongan moral.
c) Jika keluarga memulaukan anda kerana malu (inilah akibatnya perbuatan anda itu), rujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat berhampiran anda untuk mendapatkan perlindungan sewajarnya. Jika saya tidak silap, Unit Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Johor juga ada menyediakan tempat perlindungan ini.

Keluarga.
1. Bayi ini tidak berdosa. Jangan dipulau ibu bayi dan bayi ini. Mereka perlukan bantuan anda untuk memulakan hidup baru.
2. Malu? Siapa yang tidak malu jika dapat cucu tanpa bapa? Tetapi bayi ini tidak bersalah, anda sepatutnya turut bertanggungjawab mengambil peduli kebajikan bayi ini. Dia adalah darah daging anda juga.
3. Jika anda telah mendidikan anak-anak anda dengan didikan agama yang kuat, anda juga tidak bersalah. Anak anda yang berzina itu yang berdosa. Suruh dia bertaubat bersungguh-sungguh. Pastikan dia tidak terus bergelumang dengan maksiat lagi.
4. Tetapi jika anda tidak mendidik anak anda dengan akhlak muslim sejati, inilah kesannya. Anda telah buat satu kesilapan kerana tidak mengajar anak dengan ilmu Islam. Jangan tambah kesalahan anda dengan menyuruh anak anda buang bayi tersebut.
5. Ujian Allah adalah untuk melihat siapa yang lebih baik iman, taqwa dan sabar sesorang hamba.
6. Jika malu anda melebihi segalanya. Carikanlah untuk ibu dan bayi ini tempat perlindungan sewajarnya. Yang amat terpenting sekali, jangan sampai ada dalam sejarah dan salasilah kerluarga kita yang buang bayi dalam tong sampah!

Masyarakat.
1. Anak haram itu tidak haram sebenarnya. Yang haram adalah berzina. Lahir sebagai anak zina tidak berdosa sama sekali.
2. Siapa anda untuk mengatakan anak haram itu kotor dan dosa?
3. Siapa pula yang kata anak zina akan berzina pada masa depan? Anda lah! (pandai-pandai tentukan nasib, qada’ dan qadar orang lain)
4. Allah tidak suka kepada perbuat mengumpat, mencaci, mencela, menghina dan menzalimi sesama makhluk.
5. Jaga diri dan keluarga anda dari bakaran api neraka. Pastikan mereka tidak melakukan maksiat.

Anak Haram.
1. Anda minta dilahirkan sebagai anak haram? Ya? Tidak? Anda bersih ketika dilahirkan dulu.
2. Selepas anda baligh, anda yang tentukan diri anda bersih atau kotor, dosa dan pahala. Macam orang lain. Macam anak yang ada ibubapa yang sah.
3. Anda rasa yang diri anda kotor? Kenapa? Siapa yang kata kepada anda? Anda jumpa orang pandai agama, minta dia jelaskan hadis di atas dalam konteks anda sebagai anak tidak sah taraf.
4. Anda mahu salahkan ibubapa anda yang berzina? Kan dosa manusia tanggung masing-masing.
5. Anda sesal dengan diri anda? Sesal dengan dosa yang tidak anda lakukan?
6. Kenapa anak haram (perempuan) kena pakai wali hakim kalau nak kahwin? Tak boleh mewarisi harta bapa biologi? Mesej ini ditujukan kepada masyarakat dan individu (sebagai preventif) agar faham bahawa ada keistimewaan antara anak sah taraf dan anak haram, jadi janganlah berzina. Nanti anak kamu tidak dapat keistimewaan spt yang dikecapi anak sah taraf.
7. Jika tiada bezanya pula, ramai pulak anak haram dari anak sah taraf dalam masyarakat kita. Dah tak ada beza, sama semua. Nak jadi apa masyarakat kita?

Kesimpulan:

Jangan berzina, jangan buang bayi, jangan hina orang, jangan hina diri sendiri dan jangan tinggal solat lima waktu.